AROMA IKAN BAKAR
February 3, 2010
Pada episod yang lalu (entah berapa jauh lalunya), aku ada mengutarakan perihal 3Hari 2 Malam di HKL. Namun destinasi pada kali ini, aku akan mengutarakan tentang eksplorasi aku dan keluargaku menyambut harijadi mak di Aroma Ikan Bakar (AIB) di Kuala Selangor.
Sebut pasal AIB ni, sebenarnya memang dah banyak orang yang bercerita mengenainya. Apatah lagi yang pernah meletakkan destinasi ini didalam blog masing-masing. Namun, aku ada cerita aku sendiri. Tak kisahlah kalau pun sama dengan yang lain. Blog aku, aku punya pasallah kan… ehehe
Disember lalu, kami sekeluarga bercadang untuk menyambut harijadi mak di sana. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam lebih sedikit; bergantung pada kelajuan kenderaan. Kalau dari Lembah Klang ke Kuala Selangor ni sebenarnya ada beberapa jalan.
1. Ikut MRR2 ke arah Sungai Buloh ke Kuala Selangor
2. Ikut Shah Alam ke Klang dan ke Kuala Selangor dan
3. Ikut NKVE ke Klang dan ke Kuala Selangor
PERJALANAN
Kalau nak ikutkan, ada saja jalan lain kalau pandai dan ada masa meredah jalan pintas terbaik. Namun tiga itu sahaja yang sempat aku terjah. Kalau ikut laluan pertama, masuk ke MMR2 menghala ke Sungai Buloh/ Kepong.
Kita ikuti GPS manual aku.
Dari Sungai Buloh, ikut sahaja penanda jalan menuju ke Kuala Selangor. Takkan masuk ke mana-mana simpang selagi tak sampai ke simpang tiga Kuala Selangor. Perjalanan mungkin terasa lama sedikit kerana dari Sungai Buloh ke sana, jalannya bengkang-bengkok sedikit. Maklumlah, bukan jalan bandaran. Dan kalau anda risaukan kesesakan jalanraya, jalan ini adalah yang terbaik kerana anda takkan jumpa semua itu. Kalau ada pun, mungkin kesesakan yang begitu kecil di pekan Sungai Buloh. Maklumlah, dah namanya pun Sungai Buloh. Memang ‘famous’.
Perjalanan dari Sungai Buloh ke simpang tiga berkenaan mengambil masa lebih kurang setengah jam ke 45 minit. Bergantung kepada tahap kecekapan pemanduan anda sendiri. Kalau mereka yang kaki ‘drift’, mungkin akan mengambil masa kurang dari itu. Dan kalau lebih lupa diri lagi, boleh terus ke Penjara Sungai Buloh yang berada di pertengahan perjalanan! Ehehe
Sesampai anda di simpang tiga yang dimaksudkan, anda akan nampak penanda jalan yang tertulis Kuala Selangor di belah kanan dan Klang di belah kiri. Ikut KIRI. Setelah lebih kurang 3 minit perjalanan, anda akan nampak Petronas di belah kiri anda. Ketika ini, senyumlah sedikit sebab anda dah dekat dengan destinasi anda tu. Teruskan lagi perjalanan. Dalam tak sampai 30 saat, anda akan nampak stesen minyak Shell dan Balai Polis Jeram yang juga dibelah kiri anda.
Betul-betul berhadapan dengan balai polis ada lampu isyarat. BELOK KANAN. Jadi kalau tak nak keliru, dari jauh kesayupan penanda stesen minyak Shell tu, anda dah boleh mula mengikut laluan jalan dibilah kanan.
Bila dah masuk ke kanan, anda sekarang berada di Jalan Pantai Jeram. Terus ke depan sehingga nampak sebuah pintu gerbang. Haaaaaaaa, di belakang pintu gerbang itulah gerai-gerai ikan bakarnya.
TETAPI, AIB bukan disitu! Ehehehe… jangan marah.. gurau saja..
Betul-betul sebelum pintu gerbang tersebut ada simpang ke kiri. Jalan Jati namanya. Haaa, belok kiri dan pandu sedikit sahaja, anda akan nampak AIB di belah kanan anda.
TEMPAHAN
Di sana, sama sahaja seperti restoran-restoran makanan laut yang lain. Sentiasa penuh dengan pelanggan. Khabarnya, AIB setakat ini telahpun menggaji lebih 40 orang pekerja termasuk tukang masak, pelayan dan penyedia makanan. Jadi, jangan risau jika anda inginkan layanan yang baik dan mesra (harap-haraplah).
Oh ya. Sebelum terlupa, satu pesanan kepada bakal pengunjung, kalau datang berdua atau berseorangan, pergi sahajalah. Tapi kalau ingin pergi dalam kumpulan, eloklah hubungi mereka untuk membuat tempahan meja. Kalau nak tau, biasanya malam Sabtu, malam Ahad dan malam Isnin adalah yang paling ramai pengunjung. Dan malam Ahad adalah kemuncak kehadiran pengunjung. Memang ramai!
Jadi, eloklah kalau buat tempahan sebelum ke sana. Untuk tempahan, sila hubungi:-
017 – 3163117 (En. Naim) atau 019 – 2084452 (Pn. Hazura)
MENU MAKANAN
Menu utama di sini, apalagi kalau bukan ikan bakar. Macam-macam ikan ada disitu. Yang aku nampak aritu, ada ikan jenahak, kerapu, siakap, cencaru, kembong, dan macam-macam lagi. Selain dari tu, ada juga sotong, kerang, kepah, udang, dan beberapa makanan laut lain.
Sambil aku mengaut-ngaut dan memilih ikan, di belakang kaunter ikan tu ada satu kawasan terbuka dimana pekerja-pekerja sedang membakar makanan laut. Ramai yang sedang membuat kerja tu ketika itu. Rasa macam nak masuk saja dapur mereka. Teruja dengan asap, kipas dan haruman ikan bakarnya.
Menu yang aku pesan semasa di sana tempoh hari ialah antaranya, jenahak 3 rasa, kerapu sweet sour, ketam rempah cili, udang ‘butter’, kepah cili, sayur campur, tomyam, dan airnya ialah jus limau kasturi bersama asam boi. Layanlah juga malam tu. Makanan sedap dan hatipun senang.
Kalau datang tanpa memesan makanan terlebih dahulu, anda tunggulah seketika. Mungkin sedikit lama sebab senarai masakan agak panjang. Tapi kalau sudah memesan makanan terlebih dahulu, hanya perlu beritahu pukul berapa nak datang dan apabila anda tiba, makanan pasti akan tersedia untuk anda kurang dari 15 minit.
Sambil makan, anda juga akan dijamu dengan desiran ombak pantai Jeram yang tak berapa tinggi ombaknya. Kalau anda datang malam, lagi ‘best’. Tak nampak apa-apa! Tetapi jika kenyang makan dan ingin jalan-jalan di tepi pantai, silakan. Bayu laut pasti menambah rasa mengantuk selepas kekenyangan. Ada kalanya, air surut hingga ke tengah laut. Jadi tak dengarlah ombak menampar pantai.
Diwaktu petangnya, anda akan dapat menikmati pemandangan matahari terbenam. Tenteram rasanya…
Kalau tanya aku apa yang paling sedap disini, aku memang tak tau nak jawab. Sebab semuanya sedap Tapi kalau nak dikira semuanya, aku akan bagi 3.75 mata daripada 5. sedang eloklah tu.
Ha? Apa? Harga? Hmm terlupa pula. Semasa ke sana, makan bersama keluarga seramai 7 orang dengan menu untuk 10 orang seperti yang aku pesan, semuanya hanya RM230. Macam tak percaya. Tak tahulah kalau disitu memang murah atau mungkin pada masa tu harga makanan laut sedang turun. Nasiblah.
Jadi, aku tak segan-silu untuk meng-‘rekomen’ anda semua untuk ke sana untuk menjamu selera dengan orang tersayang.
Alamat : Aroma Ikan Bakar, Jalan Jati off Jalan Pantai Jeram, Pantai Jeram, 45800 Jeram, Selangor
Tel : 017 – 3163117 (En. Naim) atau 019 – 2084452 (Pn. Hazura)
Diari Biru
January 18, 2010
Hari tu, aku telah diberikan senaskah diari berwarna biru. Kurniaan syarikat kepada setiap insan yang berdaftar sebagai staf di syarikat tersebut. Sepanjang 6 tahun (keluar dan masuk) di syarikat tersebut, ada dalam tiga kali aku menerima diari tahunan syarikat. Dua daripadanya dari syarikat subsidiari (berwarna coklat dan jingga) dan yang terbaru terus dari syarikat induk.
Diari biru membuatku teringat banyak perkara dan kenangan lama. Diari biru membuatku teringat kepada kebanyakan kawan-kawan seperjuangan dari syarikat ini semenjak 2004 hingga sekarang.
Mengingatkan semula kenangan bersama kawan-kawan di ‘sub-company’ pertama, aku mencungkil balik beberapa ceritera yang kadang-kadang membuatku ketawa. Tak kurang yang membuatku sedih dan kecewa. Dulu semasa mula-mula kerja di situ, ramai yang menyambut kedatangan (kumpulan – ‘batch’) kami. Maklumlah, pusat panggilan pelanggan memang tak pernah lengang dari deringan telefon dari pelanggan. Dan (sesetengah) pekerjanya pula selalu menjadikan kerjaya khidmat pelanggan ini sebagai ‘jambatan’ sebelum menyeberang ke kerjaya yang lain. Jadi, kedatangan kami telah menjadi satu rahmat kepada mereka terutamanya untuk mengurangkan jumlah panggilan harian.
Namun, ada juga sesetengah kumpulan yang tidak berapa senang dengan kehadiran kami. Adanya kami di situ dirasakan bagai satu bebanan kepada mereka. Ayat yang pasti keluar dari mulut mereka, “Ha, datang dah! Satu lagi ‘group’ budak bengap masuk ke sini. Letih la nak ajar sorang-sorang!”
Bukan menuduh atau mereka cerita. Tapi itulah yang pernah aku dengar dahulu. Dengan slanga negeri kelahirannya yang terlalu dibanggakan itu, dengan bersahaja dia membahasakan kami. Tetapi tak apalah. Mungkin dia terlalu bagus dalam kerjayanya. Dia sudah berpengalaman bertahun di situ. Mungkin pada dia, kami hanyalah sekelumit kuman atau virus yang akan membuat mereka sakit!
Apapun, pedulikan mereka. Mereka hanyalah sekumpulan kecil manusia yang melengkap rencah dunia harian kita.
Diari biru juga mengingatkan aku pada keletah dan gelagat kawan-kawan di pejabat. Ada yang terlalu ceria sehinggakan tak tahan perut menahan belahak gelaknya. Ada juga yang terlalu sombong dan angkuh dalam hidup. Kadang-kadang kami semua rasa bahawa dia mungkin rasa syarikat itu milik bapanya! Dan ada juga yang berpuak-puak. Bukan puak-puak lelaki atau perempuan, tapi puak dari segi asal keturunan. Ada yang mungkin terlalu bangga dengan susur galur keturunan dan slanga bahasa yang unik (lain dari orang lain). Mereka akan duduk dalam satu bulatan manakala mata masing-masing bagaikan sejenis alat transmisi. Bundar ke kiri dan kanan macam radar dalam kapal selam! Mana sahaja pandangan tu terlekat, pasti ada satu tajuk yang menjadi perbualan dan umpatan.
Ada lagi satu puak. Puak ni ‘stylish’ la sikit. Kalau berkumpul, ‘speaking London’ memanjang. Kalau bab pakaian, jangan disebut apa-apa. Kalahkan nak pergi ke majlis makan malam gala atau ada Annual Grammy Award di Malaysia ni. Bauan minyak wangi berjenama pula bila digaul bersama, pasti akan menambah penyakit resdung yang lain! Kerja mereka tak lain; sibuk membincangkan isu-isu hangat artis luar negara terkenal, kelab-kelab terkemuka dan terbaik pernah mereka pergi, dari mana datangnya pakaian mahal mereka, kasut berjenama mereka juga. Jangan sebut jenama murah. Takkan mereka kenal. Kalau ternampak ada yang memakai pakaian yg tak berjenama atau murah, akan mendapat satu jelingan tajam dari kumpulan ini. Pendek kata, ia untuk memberitahu sang pemakai bahawa ‘kau memang tak ada kelas’!
Yang lain, semuanya seperti biasa. Normal sahaja.
Kalau sebut pasal kawan-kawan, memang tak tercerita perihal diri masing-masing. Yang pernah aku kenali dulu, boleh kata semuanya baik-baik belaka. Yang menjadi teman setia, kekasih tapi mesra, kawan bercakaran, kawan gelak ketawa dan juga ketika menangis hiba. Sungguh lengkap pada masa itu. Hmmm kenangan tu membuatkan aku rindu pada Kak Yak di tingkat 20 masa tu… rindunya pada dia…
Diari biru juga membuatku terusik pada satu kisah lama. Kisah dimana aku ‘bergaduh’ dengan atasanku. Mungkin kerana tak sebulu, maka aku perkecil kata-katanya. Aku tak mengiakan pandangannya. Tetapi aku merasakan bahawa perlu aku lakukan sedemikian kerana dia juga tak sebulu denganku. Mungkin kerana bulu aku kerinting dan dia tidak…
Kisah tu semua mengimbau banyak perkara. Susur perjalanan hidup diselak satu persatu dengan penuh cara. Adakalanya beria-ia. Dan adakalanya terasa seperti tidak larat menampung semua. Namun ia adalah pengalaman yang sangat berharga.
Hari ini, diari biru membawa satu perjalanan baru dalam aku mengharungi kehidupan. Diam di syarikat ini sedar tak sedar sudah hampir enam tahun. Dalam syarikat kumpulan kepada syarikat induk ni, aku mendapat pengalaman baru. Didiami dengan kelompok manusia yang tak sama perangai dan perilaku, aku belajar banyak perkara. Dan perihal persahabatan adalah perkara yang paling mengejutkan.
Mengimbau kenangan semasa mula-mula masuk ke sini, memang semuanya Nampak seperti biasa. Dan terasa seperti kedatangan sangat dialu-alukan. Dulu di blog aku yang tak seberapa ni, aku pernah mengeluarkan satu tajuk berjudul – Customer Service. Dalam tajuk tu ada aku ceritakan serba sedikit tentang apa yang ada di sini. ‘Rating’ pembaca tajuk tersebut ketika itu ialah lebih kurang 160 orang. Namun apa yang mengejutkan aku, sehari selepas aku mengeluarkan tajuk tersebut, tetampal satu nota kecil di diariku yang tertulis, “kau ingat kau tu welcome sangat ke kat sini!” – hanya Husaini saja yang tahu perkara ni pada masa tersebut.
Hmmm… aku terkedu seketika. Sedikit kecewa ada, sedikit merajuk ada, sedikit marah pun ada. Nota tu masih tertampal di diari tersebut. Ada aku simpan di pejabat rumahku. Aku jadikannya sebagai satu kenangan terindah. Yang paling indah! Tulisannya kemas. Umpama tulisan seorang wanita. Dan tulisan berwarna merah. Rasa-rasanya menggunakan pen mata bola Kilometrico! Lama aku berfikir pada masa tu. Ada juga dalam benak fikiran yang aku rasa aku tak patut berada di situ. Patutnya aku faham yang orang tak suka aku disitu dan aku harus pergi. Dan ada jugak dalam benakku mengatakan yang tempat tu sama sahaja dengan sub-syarikat lama dahulu. Tak banyak bezanya.
Tapi, bila difikir-fikir semula. Satu ‘quote’ yang ada dalam fikiranku:-
“Tiada sesiapa pun dalam dunia ini dapat memuaskan hati semua orang secara total.”
Dan bertitik tolak dari ‘quote’ tersebut, aku masih disini. Masih melangkah dan menginjak di atas tanah yang sama. Masih bernafas dan menghirup udara yang sama. Dan masih bergelak ketawa dan menangis hiba dengan mereka. Mungkin termasuk juga dengan si penulis nota tersebut. Entah-entah, si penulis nota tersebut adalah salah seorang kawan baikku di sini! Kecil saja dunia ni kan?
Di tempat kerja baru ni, pengalaman memang banyak. Sedikit persamaan dengan tempat dahulu, tetapi disini aku tak jumpa puak. Atau mungkin ada tapi aku tak perasan. Tak macam dulu. Begitu jelas kelihatan. Mungkin nilai sivik mereka disini lebih baik daripada yang dahulu.
Disini (pada aku lah), semua ahli diterapkan untuk menjadi ahli keluarga. Menjadi adik beradik kepada semua orang. Kumpulan disini lebih kecil. Mungkin sebab itu ia mudah diimplimentasi. Dan dalam kesemua beradik, ada juga perangai yang berbagai.
Kalau di sini, berahsia adalah perkara yang jarang-jarang dapat dilakukan. Kerana disini, ‘dinding’ pun ada telinga dan mulut. Rahsialah sebagaimana yang anda mahu, tak sampai 24 jam, pasti semua dah tahu.
Dan di sini juga, masing-masing perlu tahan maki, tahan perli, tahan umpat dan tahan caci. Perkara tu aku rasa seperti lumrah di sini dan ia sudah menjadi semacam ‘asas’ kepada perhubungan yang berkekalan di sini. Tiada istilah merajuk, tarik muka atau terasa hati. Kalau dari kepala dah sebegitu, begitu jugalah sampai ke kaki. Semua sudah menjadi lumrah dan sebati dalam darah tubuh jabatan tempat ku bekerja sekarang. Pada mulanya aku memang merasa seperti terhumban dalam satu dunia yang semacam perit padaku. Tapi lama kelamaan aku sendiri seronok begini. Secebis sahaja hatiku berkata tidak.
Di sini juga (maaf ya), ada juga yang seronok bergurau sehingga (mungkin) membuatkan orang lain terasa hati. Tapi bila bergurau dengannya, tak boleh pula. Cepat pula melenting. Harap kalau ada yang terasa dengan pernyataan ini, janganlah marah-marah kerana ia begitu jelas kelihatan. Dinding pun dah mula dengar dan khabarkan kepada yang lain. Bahaya kalau berterusan. Kita semua kan adik beradik. Sepatutnya boleh bersama dan bergurau senda. Kalau rasa diri tu ‘perfect’ sampai tak boleh kena tegur, beritahu kami semua supaya anda boleh diasingkan (mungkin) dari kumpulan lawak dan gurau di sini. Takut nanti mungkin ada yang akan terbakar hangus… maaf yer…
Dan pada yang kaki gurau atau kaki caci maki, harap bila bercakap tu, biarlah berlapik sedikit. Orang lain ada perasaan. Orang lain pun tahu sedih, marah dan kecewa. Mereka juga manusia biasa. Bukan robot yang tak mengerti perasaan manusia. Terima kasih atas kerjasama anda.
Selain itu, kebanyakan yang ada di sini mempunyai perangai yang tersendiri. Dari yang mudah mesra kepada yang sombong. Dari yang selalu ceria kepada yang selalu bermuram durja (ehem ehem! Terbatuk pula ketika sedang menaip!), dari yang senyap kepada yang sentiasa kecoh, dari yang baik sehingga yang senakal-nakal manusia, dari yang sihat kepada yang selalu sakit (uhuk! Uhuk! Hmm kenapalah batuk lagi ni!); semuanya ada. Keadaan inilah yang membuatkan keadaan di jabatan ini tak pernah lengang dari senyuman dan hilai tawa. Dan tak pula pernah terhenti keadaannya. Sentiasa sahaja bergerak. Atau mungin bergolak! Ehehe…
Dan kalau nak diceritakan perihal semangat kekitaan, tolong menolong dan harmoni, disinilah tempatnya untuk melihat semua itu. Aku tak pasti samada tempat ini memang sebagus itu atau ahli-ahli didalamnya. Cuma yang aku pasti, kalau nak lihat semangat berpasukan, pusat panggilan khidmat pelanggan adalah jawapannya. Kalau di pusat panggilan, pekerjanya memang ramai. Disini sahaja ada mempunyai beratus-ratus orang kakitangan. Bayangkan kerjasama yang dapat dijalinkan. Cuma mungkin segelintir kecil yang kurang memberikan kerjasama. Namun apakan daya. Takkan kita nak kerah tenaga atau memaksa. Itu bukan cara yang terbaik mengukuh perhubungan.
Hmmm. Nampaknya banyak betul pengalaman, pengajaran dan kenangan yang telah aku cungkil hasil dari diari biru. Dan bagi aku, aku masih sedih sebab diari biru yang aku dapat tempoh hari telah hilang. Hari tersebut, jabatan tempat ku bekerja ada mengadakan sebuah acara tahunan. Banyak barang yang aku bawa masa tu. Dan sebelum pulang, aku letakkan semua benda setempat termasuk diari biru. Aku pula sibuk kehulu dan kehilir dan tak perasan mungkin ada yang berminat untuk mempunyai lebih dari satu diari maka diambil diari biru ku. Hmm nak buat macam mana.. dah tiada rezekiku untuk memiliki diari biru… tetapi aku hargai jasa syarikat yang sudi memberikan diari biru kepada setiap pekerjanya. Itu pun salah satu cara syarikat menghargai pekerja. Dan lebih bagus kalau aku boleh dapatkan satu lagi….
Pada kawan-kawan sepejabat, maafkan aku andai ‘entry’ ini mengguris perasaan anda atau mungkin membuatkan anda benci padaku. Aku hanya mengutarakan apa yang aku rasa perlu demi perhubungan kita semua. Harap kita semua dapat berbaik-baik semasa kita dan lebih merapatkan lagi perhubungan yang ada. Aku sayang anda semua!!
Laksa Utara
January 4, 2010
Estimate untuk 5 ke 6 orang makan (sebungkus laksa)
1. Mee laksa – 1 bungkus
Laksa direndam sampai lembut dan direbus sampai empuk. Selepas empuk, toskan dan bilas sikit dengan air supaya keluar semua kanji2nya supaya laksa tak melekat sangat antara satu sama lain.
2. Ikan kembong – 3 ke 4 ekor (medium size)
Ikan disiang sampai bersih dan direbus. Semasa rebus, letakkan beberapa keping asam keping dan sedikit garam untuk membuang hanyirnya. Selepas direbus, asingkan isi dan tulang. Blend isi ikan dan asingkan. Blend pula tulang dan tapiskan air dan tulangnya. Tulang tu buang la lepas tu. Takkan nak makan pulak kan… jangan lupa, air rebusan tadi akan digunakan juga. So jangan gatal tangan nak buang pulak!
3. Ikan sardin dalam tin (tin kecil) – 1 tin
Ikan sardin juga diblendkan sampai hancur. Masukkan sedikit air untuk mudahkan ia hancur.
4. Bunga kantan – 2 kuntum
Dikerat kepada bahagian-bahagian kecil. Gunakan keseluruhan bunga dan tangkainya sekali, ok!
5. Daun kesum – 2 ke 3 tangkai
Tapi jangan pakai tangkainya. Ambil daunnya sahaja ya.
6. Air asam jawa (pekat) – anggaran dalam secawan
Ambil sedikit asam jawa (separuh genggam kecil sahaja tau!). bancuh dengan air lebih kurang secawan. Buang la biji2nya nanti ok…
7. Asam keping – 5 ke 6 keping sahaja
8. Cili kering – segenggam kecil – diblend dengan sebiji bawang besar
9. Garam secukup rasa
10. Ajinomotoooooooooooooo (kalau nak laa)
Cara penyediannya
(Masyaallah, senangnya!!)
Just masukkan semua bahan2 tadi (kecuali nombor 1,6,9 dan 10) dalam periuk dan jeranglah dalam periuk tersebut. Kalau Nampak macam terlalu pekat, tambahkan air sedikit sampai Nampak kecairan sekata. Bila dan nak mendidih, baru masukkan garam, air asam, dan ajinomoto tu. Aji pun kalau kita nak pakai, guna dalam dua ke tiga cubit jer. Takyah banyak. Cepat lak botak kepala nanti. Ehehe. Kacau sampai ia mendidih dan rasalah dari semasa ke semasa. Pandai2la rasa sampai tekak anda kata LULUS! Dan ia sedia dimakan!
Untuk bahan2 side dishnyer pulak:-
1. Salad – dihiris kecil
2. timun – dihiris kecil
3. bawang besar – dihiris nipis
4. telur rebus (telur nilah yang selalu menjadikan kuah laksa kita sedap sebab ia akan pekatkan kuah laksa dan menambah rasa dan aromanya.. hmmmmmmmmm)
Ku Rindu Dia, Ku Damba Kasihnya…
January 3, 2010
Semalam, mak bertanya lagi. ‘Bila nak kahwin?’ aku terpaku dengan soalan tu. Aku termanggu dalam diam di hadapan pintu mengadap beranda rumah di tepi meja makan. Kalau ikutkan, aku memang dah lali dengan soalan tu. Dah tak rasa apa dah. Dah lebih ribuan kali soalan tu menerjah minda. Tapi aku tak tahu kenapa, hari itu yang membuatku tertanya semula; bila aku nak kahwin. Umur dah meningkat. ‘3 series’ kata kawan-kawan sepejabat.
Hati rindu lagi. Pada si dia gerangan sang pencinta. Pada dia yang meratu jiwa raga. Tak pernah ada galang gantinya. Tak pula aku menyalin saprah tempat semayamnya.
Aku rindu padanya. Tertitip di bibirku setiap kali teringatkan dia. Wajah hitam manis pujaanku. Tak bulat tak bujur. Bibir yang separa basah dengan senyuman menawan yang sentiasa mencairkan jiwa. Mengiurkan rasa. Mata bundar yang sering mengiringku setiap kali pulang meninggalkannya dalam kerinduan teramat.
Bertahun masa berlalu. Namun belai tangannya yang halus mulus itu masih meraba-raba lengan dan jemariku.
Ahhh!! Mengingatkan itu saja sudah cukup mencakar! Mengingatkan itu saja sudah sejenak aku berair mata. Sedetik ku teringat ketika duduk di kerusi depan beranda, aku terus menutup mata. Cuba untuk tidak mengiyakan perasaan sugulku.
Kalau sudah begitu yang aku rasa setiap detik, bagaimana mungkin ku membuka hati untuk menerima orang lain dalam hidupku. Aku sudah mengunci pintu hati. Ku rantai dan ku manggakan lagi. Namun bila mak yang sudah sebati dengan pertanyaan itu dibibirnya, bagaimana mungkin aku masih mengeraskan benak untuk tidak memikirkannya. Aku tersedar yang aku sudah merantai diriku. Aku tak pernah mengambus rasa cinta. Tapi yang aku sedar tika ini, cinta terhadapnya yang sentiasa mekar. Manakala untuk yang lain bukan setakat terkambus; malah aku pekap tanahnya. Biar ia tidak bernafas lagi.
Patutkah aku begitu? Patutkah aku melakukan itu? Separuh kata hatiku mengatakan iya. Manakala separuh lagi tak berkata apa-apa. Takut akan diapa-apakan olehku nanti. Takut aku akan menganiaya diriku sendiri.
Aku menjadi buntu. Pulang dari rumah mak, aku memandu ke rumahku. Benakku kian celaru. Dan dalam tak sedar aku sudah memandu dari rumah ibuku di Keramat dan menuju ke Klang. Sudah separuh KESAS Highway aku redah tanpa sedar. Sudah dua kali membayar tol tanpa sedar. Ketika aku tersentak dari lamunan itu, aku berada di hadapan papan tanda yang tertulis ‘Perlabuhan Barat dan perlabuhan Utara’. Tika itu aku terasa yang aku kesesatan di luar, tersesat di dalam…
Puas aku menangis di tepi jalan….
Ya Rabbu… aku tak tahu apa akan aku lakukan lagi; untuk membuka pintu hati. Mungkin hatiku sudah kematu.. mungkin sudah mati… Bantu aku Ya Tuhan.. Bantu aku Ya Tuhan….
Checked Mate!!
November 30, 2009
Kadang-kadang, kita hanyalah umpama catur-catur yang bergerak di atas papannya. Kita pasti akan terus melangkah ke hadapan menuju kearah destinasi kita sendiri. Dan dalam suatu jangkamasa, permainan ini pasti akan terhenti. Cuma yang kita tidak pasti ialah; siapa kita dalam permainan tersebut. Apakah karektor yang akan dibawa…
Cuma yang aku harapkan, aku bukanlah “King” yang terlalu lemah disamping “Queen”. Biarlah aku menjadi bidak yang menentukan rentak permainan dan kemenangan yang bakal diperoleh. Walau mungkin aku kerdil dan lemah, dan mungkin akan tewas, namun aku tahu yang aku bukanlah orangnya yang akan menentukan siapa yang akan dikorbankan semata-mata untuk aku.
Dan yang lebih pasti, aku akan terus maju ke hadapan….. ataupun tewas!
“life goes on!”
Derita Hati – 2009
November 24, 2009
Ingin sekali
Aku bingkaikan derita hati
Nak ku sangkut pada langit tinggi
Biar ia menjerit sendiri
Hembuskan pada awan yang tenang
Teriakkan pada matahari yang membakar
Cuit ekor sang burung terbang
Katakan bahawa aku terseksa
Katakan bahawa aku derita
Bersengkang mata hati mencari cahaya
Tak jua terbit tiba
Ingin sekali ku balutkan ia
Dan benamkan ke dasar laut gelita
Agar ia lemas tanpa kata
Pendamkan segala lara dan derita
Biar tiada yang mendengarnya
Tanamkan ia dibawah balutan ombak-ombak menggila
Biar ia hancur lebur
Namun apa daya
Ia terbungkam dihati
Dan ia dipaku dalam jiwa
Jauh di sudut hati ini
Aku menahan pedih nanahnya
Aku menahan tusukan berdarahnya
Tak terhambur keluar walau dipaksa
Tak dapat ku cabut dengan jemari
Atau dengan air mata
Sentap
November 16, 2009
SENTAP
Hmmm…
Pernah dulu, aku rasa aku mengguris perasaan kawan kesayanganku.. kawan yang pernah seguru, sebilik, semotosikal, malah pernah ‘setilam dan sebantal’ ketika susah. Teruk hatinya aku guris. Malah aku rasa, aku tak mengguris hatinya. Tapi aku robek-robekkan lagi. Namun ia berlaku tanpa aku sedari.
Dan aku juga ada seorang kawan karib. Kawan yang sentiasa aku jaga hatinya. Aku tatang jasa dan budinya sepertimana ku menjaga nyawa setiap ahli keluargaku. Malah kadangkala lebih lagi. Banyak yang kami kongsi bersama. Walau berlainan jantina, kami kongsi hampir semua perkara bersama. Hilai tawa, tangis duka, malah wang RM200 yang ku pinjam masih belum terlunas! Ehehee…
Pernah dulu terjadinya satu peristiwa amat sedih hasil dari perselisihan dan salah faham antara kawan karibku dan kawan kesayanganku. Tak perlu aku ceritakan perkaranya namun ia cukup membuatku berasa amat terkilan. Kawan karibku ingin mengutarakan kata hatinya di laman web agar kawan kesayangan dan orang-orang kesayangannya juga dapat membaca dan memahami isi hatinya yang dikatakan remuk. Namun, kawan karibku berasa sedikit janggal dan teragak-agak untuk melakukannya. Maka dia meminta pandanganku.
Aku terus mengatakan bahawa aku lebih suka jika kawan karibku mengeluarkan artikelnya itu. Aku tak pula memikirkan kesan jangka panjang yang mungkin terjadi. Mungkin kesan jangka pendek pun tidak ku pedulikan! Namun, aku menyuruhnya berbuat demikian kerana, aku tidak sanggup melihat kawan karibku menangis selalu. Dalam hati ini, tak pernah terlintas untuk mengoyak perhubungan sesiapa. Lebih-lebih lagi perhubungan kawan karibku dengan kawan kesayanganku. Namun, hatiku lebih kepada belas atas kawan karibku.
Dalam masa yang sama, kawan kesayanganku juga menghampiriku dan mencurahkan segala isi hatinya yang sedemikian kalanya bagai retak menanti belah. Perihalnya dengan rumahtangganya, perihalnya dengan kewangan yang terbeban. Ditambah dengan masalah mertua dan orang sekeliling.
Aku mencerna minda di kedua belah pihak. Dengan kawan karibku aku menangis bersama, dengan kawan kesayanganku, ku ralit mendengar keluhannya. Sedikit sebanyak aku dapat memahami kedudukan kedua-dua belah pihak.
Tak perlu aku ceritakan apa sebenarnya yang dihadapi oleh mereka berdua. Cukup sekadar mengetahuinya dengan frasa – kedua-dua mereka sudah salah faham antara satu sama lain.
Yang menjadi masalahnya sekarang, artikel yang dikeluarkan oleh kawan karibku nampak sedikit ‘extrovert’. Dan ditambah pula dengan komen-komen pijar daripada kawan-kawan kedua-dua belah pihak. Namun begitu, ia dibiarkan sahaja selepas aku dan kawan karibku telah memperolehi sedikit informasi tentang perkara sebenar apa yang terjadi.
Arakian selepas beberapa detik waktu ia terdiam, salah seorang ahli keluarga kawan kesayanganku mencelah di blog berkenaan setelah terbacanya. Dia juga adalah kawan baik kepada kawab karibku.
Hehe, kecilkan dunia ni?
Dia terus menjawab segala komen-komen yang ada di blog tersebut. Termasuk juga komen aku. Dan aku rasa komennya terhadap komen aku lebih banyak berbanding komennya terhadap kawan karibku. Dan dari situ, terdapat juga komen-komen lain dari isterinya, serta kawan-kawan lain yang sentiasa mengikuti perkembangan cerita-cerita menarik tanahair! Keadaan sedikit gamat dan tidak terkawal.
Apa yang dapat aku lakukan untuk menjernihkan semula suasana? Aku telah pun menghantar emel kepadanya dan menyatakan bahawa aku dan kawan karibku telahpun mengetahui perkara sebenar namun belum menarik semula artikel tersebut (walaupun sebenarnya keadaan sudahpun terkawal ketika itu dan kawan karibku melarang untukku bersuara). Namun, cempedak telahpun masak dan akhirnya di goreng dan dimakan.
Dalam beberapa ketika, keadaan kembali jernih sejernih air di kali. Sejernih air sungai dikala pagi hari di Sungai Tua, di Ulu Yam. Sedar tak sedar, masa mengajar banyak perkara. Masa merobah segalanya.
Kedengarannya kawan kesayanganku kembali tenang dengan keluarganya. Hubungan dengan orang tersayang juga semakin bertambah akrab. Dan bertambah seorang ahli keluarga. Dan keadaan kembali kepada sediakala. Tiada lagi tsunami yang melanda Lembah Kelang. Awan bertali arus bagai tiada apa yang berlaku. Trafik pun tak pernahnya lancar dari dahulu!
Dalam benak, aku berfikir tentang keadaan ini. Aku mengaitkan keadaan tersebut dengan beberapa keadaan lepas yang pernah aku ‘cuit’. Sama sahaja keadaannya. Cuma watak dan tempat serta arusnya berbeza. Persoalan yang bermain dalam fikiran aku –
- mengapa apabila ada pebalahan besar berlaku dalam sesuatu perhubungan, barulah ada persefahaman -
Dan ironinya pada satu perkara yang sering berlaku selepas perbahalahan besar – kelahiran insan baru bergelar anak. Hmm.. mungkin ramai yang tak perasan perkara ini tapi percaya atau tidak, ia sering berlaku.
Senario 1:
Seorang rakan wanita menghubungiku dengan keadaan yang sedih. Menangis teruk dalam telefon minta diselamatkan. Setelah aku ke rumahnya, betapa terkejutnya aku dengan keadaannya yang bengkak berik. Jiran tetangga hanya mampu untuk memandang episod sedih tersebut kerana takut diapa-apakan oleh sang suami yang sudah dikenali perangainya. Aku datang dengan seorang rakan. Rakan yang tergamam dengan kejadian tersebut terus mengambil kapak (kalau tak salahlah) dalam but kereta dan memecahkan mangga pagar rumah tersebut. Dia kami bawa dia terus ke balai polis Wangsa Maju untuk membuat laporan. Setelah selesai, dia nekad untuk membuat aduan di pejabat agama. Kami terus ke situ dan satu laporan dibuat.
Selepas selesai, dia menghubungi ibubapanya dan mertuanya juga. Kisah tidak berakhir begitu sahaja. Banyak episod-episod yang perlu dilalui sehingga semuanya selesai. Dalam setahun kejadian tersebut, perhubungan kedua-dua suami isteri tersebut kembali jernih. Ditambah dengan kehadiran seorang anak lelaki yang comel yang menyerikan hidup mereka berdua. Oh ya. Untuk rekod, mereka telah berkahwin selama empat tahun tanpa anak sebelum kejadian tersebut. Tidak pasti samada mereka masih belum bersedia atau tidak ada rezeki lagi… Hmmm… Aku sangat kagum dengan jalan cerita Ilahi…
Apapun, berbalik kepada ceritera kawan karib dan kawan kesayanganku tadi, aku amat menyayangi mereka berdua. Tidak pernah terlintas walau sekelumit untuk meruntuhkan rumahtangga sesiapa dan tidak pernah terlintas untuk melaga-lagakan sesiapa juga.
Pada kawan kesayanganku, aku amat berharap agar kau berbahagia dengan pasanganmu dan pertahankanlah institusimu itu seutuh mungkin sehingga ke liang lahad. Harap kau dapat memaafkan aku sekiranya kau rasa aku bersalah. Aku sekali-kali tidak rasa bersalah . Kerana aku masih rasa perbuatanku adalah yang betul. Jika tidak kawan karibku meluahkan isi hatinya kelmarin itu, aku rasa masalah takkan selesai. Jika tidak diutarakan perkara tersebut, aku rasa masing-masing masih lagi akan menyimpan perasaan masing-masing tanpa ada persefahaman lagi. Dan jika tidak kita semua berbalah, tiada sesiapa yang akan memahami keadaan sebenar dan pasti keadaan akan semakin runcing. Dan jika tiada perbahalahan tersebut, perbincangan secara demokrasi dan diplomasi juga pasti takkan berlaku. Wallahualam.
Dan untuk kawan karibku, aku juga mendoakan kesejahteraan kau serta mendoakan juga agar cepat jodohmu bertandang dan kekal abadi. Aku sangat berharap agar kau keringkan airmata yang sering menitis di pipi. Jangan difikirkan lagi kelam lalu, hatta ada pelita yang sedang menerangi hidupmu. Dan seperkara lagi, hutangku padamu akan kulangsaikan nanti. Hehe!
Barakallah…
Letih – 2009
November 14, 2009
ku kejar langit berlari
jauh meninggalkan ku – pedih
menjangkau berabad lamanya
dan jenuh ku rasa peluh membasah
tak terlihat akan senyum tipis
yang menemani hanya lelah
dan nafas mencungap
serta jiwa yang hilang rohaninya
juga jasad yang kontang
Customer Service ii – Soft Skills – Angry / Slow Customer Management
October 15, 2009
Salam… lama tinta aku ni tak menari. Maklumlah sekarang agak sibuk dengan dua ke tiga tugas sekaligus. Wabak yang berbagai sekarang ni pun sedikit sebanyak mengganggu ketenangan dan mencantas pemikiran.
Kali ni, aku nak sentuh sedikit tentang soft skills. Kalau yang tidak bekerja dalam lapangan khidmat pelanggan, mungkin tidak tahu atau tidak begitu faham makna soft skills. Atau mungkin ada juga yang akan kata, “soft skill? Skil untuk jadi lembut?” Hmmm… jangan tak percaya. Memang ada orang yang bertanya soalan tu pada aku.
Soft skills kalau dalam istilah yang boleh dicari dalam internet tu banyak. Dari cara percakapan, melayan, sehinggalah mengambil hati. Semua ada soft skill tersendiri. Cuma mungkin pendekatan terhadap sesuatu tu yang berbeza.
Tapi, pada aku sendiri, soft skill yang merangkumi pekerjaan yang aku buat adalah yang paling penting sekali. Dan aku teringin nak sentuh sikit pasal soft skills untuk angry dan slow customer.
Di call centre, perkara paling penting adalah bagaimana nak meet customers’ expectation by using our best soft skill. Cara berinteraksi dengan pelanggan misalnya, kita perlu mengetahui terlebih dahulu siapa kita kepada pelanggan.
“Siapa kita kepada pelanggan?”
Ya! Soalan yang paling perlu didahulukan. Siapa kita kepada pelanggan tu.
Kita adalah wakil kepada syarikat tempat kita bekerja yang melayan setiap pelanggannya. Dengan kata lain, kita ‘adalah’ syarikat kita. Sebagai sebuah syarikat yang bermatlamatkan keuntungan, kita perlu lakukan segala-galanya untuk mendapat untung. Dengan kata lain, wang. Maka, kita akan buat sehabis baik untuk melayan pelanggan kita, mengikut segala kemahuannya, meng-‘offer’ segala yang ada di syarikat kita yang difikirkan dapat membawa manfaat kepada pelanggan. TAPI, kita tak boleh hanya memberikannya dengan begitu sahaja tanpa mengetahui cara yang betul.
Disitu datangnya soft skills tadi.
Kadangkala kita ada mendengar pelanggan kata, “yang awak nak marah saya ni kenapa! Kalau saya tau nak buat benda ni, takde la saya call awak!”
Dan kita pun sedikit tersentak dan tersedar sedikit. Sibukla nak cover itu dan ini. Kadangkala bukan kita nak marah pun. Yang pelanggan tu sengal sangat, dah kenapa! Tapi itulah pelanggan dan itulah kita.
Firstly yang sepatutnya, setkan dalam minda, siapa kita?
Secondly, apa yang kita buat sebenarnya kat company ni?
Then fikir pulak, apa limitation kita ketika kita melakukan kerja tersebut
Kemudian fikirkan jugak kesan baik dan buruk atas apa yang kita lakukan
Last sekali, akibat dari kesan yang kita dapat. Kalau baik, baikla yang kita dapat. Begitulah sebaliknya.
Bila kita melayan pelanggan, letakkan diri kita di bawah. Kalau di sekolah, guru berada di atas. Dah tentu kita mendambakan pendidikan dan pengajaran, itu dah semestinya. Betapa tingginya darjat seorang guru yang betul2 ikhlas mendidik anak bangsa. Tapi apa bezanya seorang guru yang mengajar di sekolah dan kita yang ‘mengajar’ pelanggan di call centre?
Kita bertanggungjawab memberikan perkhidmatan yang diperlukan. Perlu diingatkan, kita dibayar untuk apa yang kita lakukan. Dan kita bukannya mengajar kanak-kanak. Tetapi orang dewasa yang sama seperti kita. Dan tentunya kita mahu dihormati, menjaga air muka dan sebagainya. Sebagai seorang pelanggan, kita tentu tak suka kalau dimarah2 oleh orang lain. Kita tahu kita mungkin tak pandai dan memerlukan pertolongan.
Bayangkan ini anda.
anda call dekat call centre dan minta pertolongan kepada suara yang berinteraksi dengan anda. Pada masa tersebut, apa yang anda nak minta tolong tu memang anda tak tau apa nak buat, macamana nak buat dan siapa yang boleh tolong bantu.
Bila anda call, suara tersebut bantu satu persatu. Ada beberapa perkara yang anda tak faham. anda minta dia ulang. Tak pasti samada suara tersebut tidak jelas atau memang anda tak dapat2 juga cara yang sesuai. Fikiran dah buntu dan bercelaru. Semua perkara dah jadi blur. Suara yang berada di copong telefon sudah mula tinggi dan kedengaran kurang senang dengan anda. Bila minta diulang, siap kena bentak. Ada yang perli dan tak kurang juga yang terus marah meninggikan suara seolah-oleh anda ni budak2. anda tahu anda tak pandai dan anda tahu anda tak dapat nak selesaikan masalah tu. Tapi suara tu tak sudah2 menyalahkan anda kerana tak faham dan tak dapat mengikut tatacara dia.
Dua possibility yang mungkin berlaku
1. anda terasa seperti suara tu kurang ajar sungguh dan anda dah start nak bergaduh dengan dia sebab tak hormat anda langsung.
2. anda jadi semakin blur dan anda terus stuck in the middle. Anda rasa diri anda seperti begitu kecil. Lebih kecil dari lubang speaker phone anda.
Apa kita rasa? Apa anda rasa, itulah yang pelanggan rasa.
Namakan jenis perangai pelanggan-pelanggan yang anda tahu yang boleh menyebabkan anda cepat hilang sabar
i. pelanggan yang sangat lembab
ii. pelanggan yang suka nak marah2 tak tentu pasal
iii. pelanggan yang bodoh sombong
iv. pelanggan yang tak reti sabar
v. pelanggan yang suka menyampuk ketika anda bercakap
dan banyak jenis lagi yang sering buat kita naik angin dan tak dapat nak kawal perasaan (mungkin!)
Jadi apa yang kita perlu lakukan jika dapat pelanggan yang sebegini?
SABAR!
SABAR!!! dan
SABAR!!!!!!
Setiap kali kita terasa tercabar dan nak naik angin, ingat beberapa perkara,
i. pelanggan yang bayar gaji kita. Jadi takkan kita nak bentak dan marah orang yang memberi gaji pada kita.
ii. siapa kita kepada pelanggan.
iii. Sifat kesabaran yang tinggi. Sebab jika kita jenis yang memang tak boleh sabar dan cepat marah, kita bukanlah orang yang sesuai bekerja dengan awam amnya dan di call centre khasnya.
iv. Pelanggan juga sama seperti kita – mahu dihargai, dihormati dan rasa diri diperlukan
Cukup untuk kita di call centre.
Aku teringin juga nak menyeru kepada pelanggan-pelanggan budiman di luar sana. Sepertimana anda, kami yang bekerja untuk anda juga adalah manusia biasa yang tak pernah lepas dari melakukan kesilapan dan kita semua sama-sama belajar dari kesilapan untuk menjamin perkhidmatan terbaik untuk anda. Jadi, kami sangat mengharap agar anda memaafkan jika ada kesilapan kami sepanjang berkhidmat untuk anda.
Dan di kesempatan ini juga, kami sangat berharap agar pelanggan-pelanggan diluar sana supaya sabar dalam mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan anda. Tak kiralah siapapun mereka, mereka adalah sama seperti anda. Mereka juga pelanggan, mereka juga pengguna. Sama seperti anda, mereka juga mahu dihormati, mereka juga mahu dihargai, mereka juga adalah manusia biasa seperti anda dan kita semua…
Cukup juga untuk pelanggan-pelanggan budiman sekalian.
Aku juga ingin mengambil sedikit perhatian daripada pihak pengurusan syarikat yang mengendalikan pekerja-pekerja khidmat pelanggan seperti kami di call centre ni.
This is my quote:
Kami ni ibaratnya seperti pelapik tapak kaki di dalam kasut. Kalau kami tiada, ‘pemakainya’ takkan rasa selesa. Dan kasut tu pun tak lengkap dan mungkin takkan dinamakan kasut. Betapa pentingnya kami ni yang dipijak setiap saat untuk keselesaan si pemakai… tapi walau bagaimana penting pun kami, walau bagaimana perlu sangat pun kami di dalam kasut tu, end of the day, itulah fungsi kami… kegunaannya tiada lain selain untuk dipijak jua….
Ha, lu pikirla sendiri!!! (pinjam jap tagline nabil rajalawak)
Apapun, aku rasa elok kita yang menjadi pelapik tapak kaki ni berfikiran sedikit positif. Sekurang-kurangnya sedapkan hati sedikit.
Kalau pelapik tapak kaki macam kita ni tiada, maka kasut tu tak sempurna. Si pemakai tak rasa selesa. Dan kasut tu pun dah tiada yang nak lagi. Tak laku. Dan bila tak laku, tiada orang akan beli. Bila tiada orang beli, maka terbiarlah kasut tu tanpa dipakai dan akhirnya dibuang…
Perasan sesuatu? Iaitu betapa pentingnya kita di call centre ni. Kalau tak ada kita, syarikat akan kekurangan pelanggan, bila kurang pelanggan, tak ada la income. Bila tak ada income?
Haaaaaaaa, lu pikirla jugak sendiri!!!!! (pinjam tagline nabil rajalawak sekali lagi)
Wallahualam…
Menanti Syawal – 2009
September 16, 2009
Hening di mega nan senja
Menanti Syawal tanda merdeka
Dan sugul melepaskan Ramadhan mulia
Dengan rela dan penuh syukur
Sepurnama ia membersih hati
Dan bila sirna syawal men-siddiq
Ku labuhkan keangkuhan lalu
Ku selak silap salahku
Menyusun jari yang hina dina
Merapat apa yang ku jarakkan
Agar seteru menjelma sahabat
Agar yang maung semanis halwa
Dan kita rapat bersama
Sebaris dalam purnama suci
di Syawal mulia ini
Salam lebaran
Maaf lahir dan batin




