Cerpen – Pusaka

Sesekali, matanya menyeka. Sesekali, jari jemarinya bagaikan mengira sesuatu tetapi barangkali dia sendiri tidak tahu. Azri masih terbaring di atas tikar mengkuang lusuh di ruang santai rumah tua moyang kesayangannya. Tubuh badannya longlai walau ingin menggerakkannya ke kiri atau ke kanan. Sesekali adiknya Nani akan menghampiri dan menggerak-gerakkan tangan, kaki dan badan abangnya yang langsung tak bermaya.
“Nasib baik kau ada, Nani. Kalau tak, siapa nak tolong mak jagakan angah kau ni.” Kata ibu Nani kepadanya. Nani yang kebetulan sedang bercuti panjang kuliahnya segera menjawab perlahan, “Tak apa lah mak. Kalau Nani tak cuti pun, memang kena lah ambil cuti. Takkan nak biarkan angah macam ni.” “Along kata nak balik kampung sekali kan? Tak sampai-sampai pun?”

“Kejap lagi sampai lah tu. Katanya nak hantar kawan dia ke ‘bus stand’ di Bukit Jalil dulu. Lepas tu baru ke mari.” Ibunya menjawab. Nani mengangkat keningnya tanpa berkata apa-apa. Tangannya masih setia mengurut-urut lengan Azri. Azri masih senyap. Dia tidak dapat berbuat apa-apa. Sesekali jemarinya menaip sesuatu di telefon bimbit. Menggigil jari-jarinya sambil menaip. “Angah nak mesej siapa? Meh Nani buatkan.” Sambil dia mengambil telefon bimbit abangnya dan menyambung menaip mesej itu. Azri menyuruhnya membalas mesej kawan pejabatnya. Disebut satu persatu perkataan yang dikehendaki.

“Sambung yg angah taip tadi,” perlahan dan terketar-ketar suaranya. Nani terus menaip mengikut permintaan Azri. Ibunya hanya memandang sedih. Mungkin memikirkan tentang masalah yang tak mungkin ada kesudahan yang baik itu. Sambil duduk-duduk, kedengaran jiran tetangga dan saudara mara memberi salam; datang bertanya khabar dan melihat sendiri keadaan Azri sekeluarga.

“Jadi lagi ke Nor.” Tanya salah seorang sepupu ibu Azri.

“A ah, Nab. Dah berapa puluh kali kena dah ni.” Jawab ibunya.

“Yang ni bila pulak kenanya? Kena macamana?”

“Tak ‘sure’ lah pulak. Tapi si Azri kata malam raya haritu dia kene ‘tegur’ masa balik dari hantar kuih bahulu kat kedai kek kat Greenwood. ‘Start’ malam tu yang jadi meracau-racau ni. Pagi tadi terus bawak dia balik sebab nak ubatkan.” Tambah ibu Azri lagi.

“Dah panggil ustaz Jali ke mari?” Tanya Puan Zainab lagi kepada ibu Azri.

“Dah pagi tadi. Katanya lepas solat asar nanti dia sampai. Barang-barangnya pun dah ada dah.” Jawab ibu Azri. “Aku tak tau la sampai bila benda-benda ni nak kacau. Peliknya pulak kena kat anak lelaki aku. Selalukan perempuan yang kena.” Ibu Azri menambah. Nani menjeling ibunya.

“Kau ni Nor, takut si Nani tu, nampak!” Ibu Azri ketawa kecil sambil memegang tangan Nani. Puan Zainab berpaling kepada Azri dan berkata, “Azli jangan risau, okay. Kali ni kita buat betul-betul. Mak Teh doakan Azri cepat sembuh! Amiiinn!!” Puan Zainab memberi sedikit peransang. Azri cuba mengorak sedikit senyuman walaupun tawar. Ibu saudaranya membalas dengan senyuman kecil, namun wajahnya jelas memperlihat kegusaran.

Petang itu seperti yang dijanjikan, Haji Razali, atau lebih mesra dipanggil Ustaz Jali oleh orang kampung, tiba di rumah tua tersebut. Beliau telah mempunyai pengalaman mengubat penyakit mistik lebih dari 30 tahun. Azri adalah salah seorang pesakit beliau yang pernah diubati entah berapa kali saban tahun kebelakangan ini.

Sambil memegang erat tangan Azri, beliau berkata sendiri, “Kau memang nak nahas lagi kan!” Dan bermulalah ritual yang selalu dilakukan Ustaz Jali. Ada kalanya, Azri diam sahaja tanpa berbuat apa-apa. Ada kalanya juga, dia tiba-tiba meraung kesakitan dan minta diselamatkan. Dari dulu sampai sekarang, itulah yang dilaluinya setiap kali berhadapan dengan Ustaz Jali. Ahli keluarga yang menyaksikan peristiwa itu juga saling meneka-neka milik siapa suara yang keluar dari mulut Azri; samada memang suaranya atau makhluk yang merasuk dan merosakkan tubuhnya. Ada kalanya mereka juga keliru tentang siapa sebenarnya yang meraung minta tolong. Tetapi bila Azri marah-marah, mencarut dan memaki hamun atau memukul atau menepis, mereka sudah maklum siapa yang melakukannya.

Selesai ritual tersebut, Azri sudah tidak kedengaran. Kelihatannya dia semacam sedang nyenyak tidur. Ustaz Jali terus membuka ke helaian lain kitab suci Al-Quran untuk dibacakan lagi. Setelah selesai membaca ayat-ayat suci, beliau mengambil sedikit air yang telah dijampi dengan ayat-ayat suci tadi dan disapu pada muka dan badan Azri. Selang tiga ke lima saat selepas itu, Azri membuka mata. Bola matanya seperti mencari-cari sesuatu. Warna matanya sedikit merah. Nampak seperti sudah tiga hari tanpa tidur. Mukanya pucat dan bibirnya masih kering seperti dua hari sebelumnya.

“Azri okay?” Tanya ibunya. Azri cuma mengangguk kecil. Ibu Azri terus mengalih pandangan ke arah Ustaz Jali sambil berkata, “Macamana ni ustaz. Dah berpuluh kali buat, ‘still’ macam ni jugak. Memang tak ada jalan lain ke?” Soalnya kerisauan. Ustaz Jali menjawab,

“Nor, benda ni macam yang aku cakap dululah. Kalau dah namanya hantu raya, memang susahlah nak keluar. Dapat pulak yang atuk kau bela dulu. Tengok sekarang, cucu cicit yang merana!” Tegasnya. Ibu Azri hanya mengeluh kecil. Tiada apa yang beliau dapat katakan lagi. Ustaz Jali menyambung, “Benda yang dibela ni, memang susah nak halau sebab dah sebati dalam darah daging korang semua. Memang kita tak mintak sebab tu semua keja datuk nenek kita. Tapi kenalah usaha. Yang menyembuhkan tu Allah, bukan aku. Aku tolong je yang mana mampu.” Tambahnya lagi. Ibu Azri terus sepi.

Masing-masing yang berada di dalam rumah tersebut juga tidak berkata apa-apa. Mereka juga mungkin sedang memikirkan jalan penyelesaian terbaik. Ibu Azri bertanya lagi kepada Ustaz Jali, “Tak ada jalan lain lagi, ustaz? At least kurangkan tegur-tegur ni. Itu nasib baik waktu raya hari tu dia okay. Kalau tengah ‘drive’ malam tu pun dah tak okay, tak tau lah nak cakap macamana. Nauzubillah!”

Ustaz Jali menjawab, “Kau pastikan dia tak lalu kat bawah pokok- pokok besar petang sampai malam. Dah tu kalau nampak apa-apa yang pelik, jangan suka nak tegur. Tutup je mulutnya. Lagi satu kalau rasa ada yang mengikut ke, ada yang tengah perhatikan dia ke, suruh dia baca ayat kursi sembilan perhentian. Baca je banyak-banyak kali sampai perasaan tu hilang. Ha satu lagi, jangan berhenti solat dan ngaji. Teruskan. Itulah pendinding yang paling baik sekali.”

Sekian…

~tintamuda98~