sejenak dari minda

Mata masih bermaya. Sejenak terbaring menanti kudrat kelopak mata ni berkurangan, otak masih aktif juga berfikir. Kalau siang menjengah esok, tetapi jasadku disinar fajar pagi tanpa nyawa, apa akan berlaku?

Aku terfikir, andai tiada esok bagiku, sempatkah aku memohon ampun akan dosa-dosaku hari ini? Bagaimana dengan semalam, kelmarin serta hari-hari lalu?

Kalau sebelum tidurku tanpa syahadah dek kerana tidak mementingkannya atau bisa alpa, adakah ada syurga buatku kelak?

Dibenak ku berputar lagi. Memikirkan akan ibu dan adik-beradikku yang mengharapkan ku… Bagaimana kalian kalau ku tinggalkan? Bagaimana pula dengan yang tersayang?

Mungkin itu ku bariskan dibarisan kedua. Yang paling penting perlu ku dahulukan – diriku…

Tiga dekad setahun yang lalu, aku menjengah dunia dengan janji pada Allah untuk mencari keredhaan-Nya. Tiga dekad setahun yang lalu, aku disusukan mak supaya bila besar nanti aku patuh dan bisa menjaganya pula. Tiga dekad yang lalu, aku dijaga arwah abah supaya boleh memacu keluarga menggantikannya.

Sedekad pertama adalah waktu yang amat bagus. Aku dibesarkan dengan penuh kasih-sayang orang disekelilingku.
Sedekad kedua merupakan waktu yang amat genting padaku. Awal dekad kedua, arwah abah menjengah Ilahi. Dan aku sebagai ganti. Walau ku lalui semuanya dengan tabah, namun hati selalu goyah. Kain putih yang membalutiku ketika dilahirkan dulu banyak bercampur warna. Aku belajar menyayangi dan juga melukai. Aku belajar berbicara dan juga menipu kata. Aku belajar mendengar nasihat dan juga melanggar syariat…

Kain putihku kini bercampur warna. Aku tahu masih ada putihnya tapi aku tak tahu dimana…

Tidak lama lagi akan kutamatkan zaman kelana. Namun semacam tiada beza bilamana aku masih begini… Masih ‘kotor’ begini…

Hatiku semacam sudah semakin membenci jasad. Selalu ku palitkan hitam dan curiga. Entah kenapa selalu aku jadikannya mangsa kerakusanku. Hidup yang masih melata dan meraba-raba, namun masih membiarkannya.

Sempatkah aku menghirup udara percuma ini esok hari? Masih sempatkah aku melihat sinar pagi indah Ilahi esok pagi? Dan masih selera lagi untuk aku menjamah rezeki pemberian Tuhan ini tanpa segan?

Ya Allah yang maha Mengasihani, maha Pemurah, maha Pengampun dan Pemberi Rezeki, hambaMu ini melukut hina di atas bumiMu yang suci. Ampunkan aku, ampunkan aku, ampunkan aku. Andai salahku hari ini selautan banyaknya, andai dosaku ini umpama buih-buih pada ombaknya, Kau ampunkanlah. Berilah ku peluang bernafas esok hari. Berilah ku peluang merasa pemberian rezekiMu esok hari. Dan berilah ku peluang membersihkan hati yang sehina-hina ini. Permudahkanlah jalan dan liku hidupku esok hari. Dakapkan senyuman redha pada wajahku atas apa pun ujianMu esok hari…

Amin.. Ya robbal aalamiiin…