Diam-diam Aku Rindu 3

Tiba-tiba Azura bersuara, “Kau tenung-tenung aku ni apasal? Nak kene sepak!” Aku tersentak. Terkejut aku dari lamunan itu. Sebenarnya, bukan Azura yang aku tenungkan. Tapi aku dah jauh mengelamun melayang ke arah Latifah.

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghela perlahan. Azura berbicara lagi, “Ha, tu teringat kat Ifah lah tu. Dah la tu Man, entah-entah dia memang tak suka kat kau. Buat apa tunggu lagi. Cari je yang lain. Bunga bukan sekuntum.”

“Memanglah bunga bukan sekuntum. Tapi bunga tu yang menarik hati aku ni. Bunga lain tak ‘best’; tak sama.” Jawabku perlahan sambil mataku memerhatikan Azura yang sedang menyusun fail di atas mejanya.

“Tu la kau. Dulu aku nak kat kau, kau taknak. Sekarang dah gila bayang pulak. Padan muka kau.” Azura berseloroh. Membuatku tersenyum lebar.

“Memanglah aku taknak kau. Garang macam singa lapar. Kuat melantak pulak tu! Hahahaha.” Aku ketawa besar menjawab kenyataan Azura. Azura terus bangun sambil memegang ‘stapler’.

“Aku sumbat mulut kau dengan ‘stapler’ ni nanti, baru tau! Suka-suka je nak cakap aku buruk lantak kan! Perut kau tu yang macam buyung kuah laksa kat pasar malam tu kau tak perasan ke ha! Celaka kau! Anjing!” Azura melenting. Tetapi dia masih ketawa.

Aku masih di hadapan Azura. Masih menanti sebarang buah fikiran yang mungkin membantu. Azura pula seperti semakin malas melayan kerenahku. Dia leka dengan tugasnya yang tak pernah nampak akan berkurangan. Dalam pada aku memerhatikan dia melakukan tugasannya, aku terfikir; cantik juga wanita ini. Bertubuh langsing, tinggi sederhana dan berkulit hitam manis. Memang ‘taste’ aku. Tapi Azura ni mulutnya tak ‘cover’ sikit kalau bercakap. Cakap lepas je dia. Pernah dulu aku bertanya kenapa cakap main lepas sahaja. Dan dia kata, eloklah cakap lepas tapi tak simpan langsung dalam hati. Daripada orang yang cakap kononnya bersopan santun, lapik-lapik ayat tapi hati busuk nak buat apa! Hmm pada aku ada rasionalnya disitu. Tapi memang tak dinafikan. Kalau bab makan, dia memang jaguh. Kadang-kadang aku memikirkan dimanalah dia simpan semua makanan yang dimakan kerana dia tidak gemuk. Ahh lantaklah! Bukan hal aku ntuk dipersoalkan. Janji dia bahagia.

Dalam leka aku di situ, tiba-tiba aku disapa, “Assalamualaikum.” Aku tersentak sedikit. Aku kenal suara itu. Aku menarik nafas perlahan dan menoleh ke belakang. Oh wajah kesayangan hamba! Hatiku berbisik ketika melihat Latifah masuk ke pejabat. “Eh, Man. Buat apa kat sini? Mengular ye.” Suara manis itu berbicara.

“Takde lah. Saja je datang sini kejap. Ambil angin. Ifah baru sampai?” Tanyaku semula. Sejuk telinga dan hati mendengar suara yang amat kunanti-nantikan.

“Dah sampai lama dah. Turun pergi kafe tadi. Cari sarapan.” Latifah menjawab sambil meletakkan makanannya di atas meja. Mejanya berhadapan dengan meja Azura. “Man dah makan?” soalan itu sahaja sudah membuatku luluh di kerusi itu. Aku nampak Azura memerhatikan gelagatku sambil tersenyum kecil. Berkerut keningnya. Aku bingkas membetulkan kedudukan. Dan dia mula bersuara,

“Kau tau Ifah, ni mamat ni dari tadi datang tanya kau pergi mana. Apa dia nak entah! Sibuk tanya aku dari tadi. Semaklah. Macam langau!” dia berkata sambil tersenyum kecil.

“Oh, langau la sekarang kau panggil aku kan.” Aku menjawab juga dalam keadaan tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala. Azura terus tergelak besar. Tiba-tiba dia menegur Latifah,

“Eh Ifah, bukan kau ‘off’ ke harini? Kata tukar ‘offday’ dengan Rosya?” Azura menukar topik. Sengaja dibuatnya supaya aku tak menyambung bebelanku. Mataku masih meleret ke arah Latifah. Aku memerhatikan sahaja dia sambil berharap dia akan memberitahuku sesuatu. Sesuatu pasal malam semalam.

“Memanglah tukar. Tapi dia ‘call’ aku malam tadi. Dia kata dia tak sihat pulak. Mintak aku kerja balik macam biasa.”

“Macam-macamlah Rosya tu. Sekejap kerja, sekejap tak.” Azura membalas. “Man, ko kan orang kuat HR. Cuba kau panggil Rosya tu. Bebelkan sikit. Aku ingat dia mesti dah lama tak tadah telinga dia kan.” Aku terkejut seketika. Azura ni memang suka potong ‘stim’. Menggangguku sedang merenung Latifah.

“Ha, yelah.” Aku menajwab ringkas. Mata masih merenung di buah hati kesayangan.