AROMA IKAN BAKAR

Pada episod yang lalu (entah berapa jauh lalunya), aku ada mengutarakan perihal 3Hari 2 Malam di HKL. Namun destinasi pada kali ini, aku akan mengutarakan tentang eksplorasi aku dan keluargaku menyambut harijadi mak di Aroma Ikan Bakar (AIB) di Kuala Selangor.

Sebut pasal AIB ni, sebenarnya memang dah banyak orang yang bercerita mengenainya. Apatah lagi yang pernah meletakkan destinasi ini didalam blog masing-masing. Namun, aku ada cerita aku sendiri. Tak kisahlah kalau pun sama dengan yang lain. Blog aku, aku punya pasallah kan… ehehe

Penulis di AIB

Disember lalu, kami sekeluarga bercadang untuk menyambut harijadi mak di sana. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam lebih sedikit; bergantung pada kelajuan kenderaan. Kalau dari Lembah Klang ke Kuala Selangor ni sebenarnya ada beberapa jalan.

1. Ikut MRR2 ke arah Sungai Buloh ke Kuala Selangor
2. Ikut Shah Alam ke Klang dan ke Kuala Selangor dan
3. Ikut NKVE ke Klang dan ke Kuala Selangor

PERJALANAN

Kalau nak ikutkan, ada saja jalan lain kalau pandai dan ada masa meredah jalan pintas terbaik. Namun tiga itu sahaja yang sempat aku terjah. Kalau ikut laluan pertama, masuk ke MMR2 menghala ke Sungai Buloh/ Kepong.

Kita ikuti GPS manual aku.

Dari Sungai Buloh, ikut sahaja penanda jalan menuju ke Kuala Selangor. Takkan masuk ke mana-mana simpang selagi tak sampai ke simpang tiga Kuala Selangor. Perjalanan mungkin terasa lama sedikit kerana dari Sungai Buloh ke sana, jalannya bengkang-bengkok sedikit. Maklumlah, bukan jalan bandaran. Dan kalau anda risaukan kesesakan jalanraya, jalan ini adalah yang terbaik kerana anda takkan jumpa semua itu. Kalau ada pun, mungkin kesesakan yang begitu kecil di pekan Sungai Buloh. Maklumlah, dah namanya pun Sungai Buloh. Memang ‘famous’.

Perjalanan dari Sungai Buloh ke simpang tiga berkenaan mengambil masa lebih kurang setengah jam ke 45 minit. Bergantung kepada tahap kecekapan pemanduan anda sendiri. Kalau mereka yang kaki ‘drift’, mungkin akan mengambil masa kurang dari itu. Dan kalau lebih lupa diri lagi, boleh terus ke Penjara Sungai Buloh yang berada di pertengahan perjalanan! Ehehe

Sesampai anda di simpang tiga yang dimaksudkan, anda akan nampak penanda jalan yang tertulis Kuala Selangor di belah kanan dan Klang di belah kiri. Ikut KIRI. Setelah lebih kurang 3 minit perjalanan, anda akan nampak Petronas di belah kiri anda. Ketika ini, senyumlah sedikit sebab anda dah dekat dengan destinasi anda tu. Teruskan lagi perjalanan. Dalam tak sampai 30 saat, anda akan nampak stesen minyak Shell dan Balai Polis Jeram yang juga dibelah kiri anda.

Betul-betul berhadapan dengan balai polis ada lampu isyarat. BELOK KANAN. Jadi kalau tak nak keliru, dari jauh kesayupan penanda stesen minyak Shell tu, anda dah boleh mula mengikut laluan jalan dibilah kanan.

Bila dah masuk ke kanan, anda sekarang berada di Jalan Pantai Jeram. Terus ke depan sehingga nampak sebuah pintu gerbang. Haaaaaaaa, di belakang pintu gerbang itulah gerai-gerai ikan bakarnya.

TETAPI, AIB bukan disitu! Ehehehe… jangan marah.. gurau saja..

Betul-betul sebelum pintu gerbang tersebut ada simpang ke kiri. Jalan Jati namanya. Haaa, belok kiri dan pandu sedikit sahaja, anda akan nampak AIB di belah kanan anda.

dapat duduk kat jeti area, sebelah laut jer

Satu lagi jalan mudah ialah melalui NKVE. (Kalau dari KL) Selepas tol Duta, terus susur kiri ke arah NKVE tu. Jangan pulak menghala ke utara ok. Nanti tak sampai-sampai pulak. So, ikut NKVE sampai exit Setia Alam. dari Exit tu, ikut sign board Kuala Selangor. Akan ada satu jalan yang anda kene U-Turn sikit dan akan keluar menghala ke Meru (akan ada simpang belok ke kiri). Jalan terus sahaja sampai ada simpang 3 (ada la dalam 5KM ke 10KM).

Dari simpang 3 tu, belok kanan menghala ke Kapar. Terus sahaja sampai anda jumpa simpang Jalan Pantai Jeram tu. Jalan kedua ni nampak macam banyak pula simpang siurnya. Tapi percayalah cakap aku ni. Jalan kedua ni lebih cepat dan tidak membosankan!

TEMPAHAN

Di sana, sama sahaja seperti restoran-restoran makanan laut yang lain. Sentiasa penuh dengan pelanggan. Khabarnya, AIB setakat ini telahpun menggaji lebih 40 orang pekerja termasuk tukang masak, pelayan dan penyedia makanan. Jadi, jangan risau jika anda inginkan layanan yang baik dan mesra (harap-haraplah).

Oh ya. Sebelum terlupa, satu pesanan kepada bakal pengunjung, kalau datang berdua atau berseorangan, pergi sahajalah. Tapi kalau ingin pergi dalam kumpulan, eloklah hubungi mereka untuk membuat tempahan meja. Kalau nak tau, biasanya malam Sabtu, malam Ahad dan malam Isnin adalah yang paling ramai pengunjung. Dan malam Ahad adalah kemuncak kehadiran pengunjung. Memang ramai!

Jadi, eloklah kalau buat tempahan sebelum ke sana. Untuk tempahan, sila hubungi:-

017 – 3163117 (En. Naim) atau 019 – 2084452 (Pn. Hazura)

jenahak tiga rasa

kepah

ketam cili

MENU MAKANAN

Menu utama di sini, apalagi kalau bukan ikan bakar. Macam-macam ikan ada disitu. Yang aku nampak aritu, ada ikan jenahak, kerapu, siakap, cencaru, kembong, dan macam-macam lagi. Selain dari tu, ada juga sotong, kerang, kepah, udang, dan beberapa makanan laut lain.

Sambil aku mengaut-ngaut dan memilih ikan, di belakang kaunter ikan tu ada satu kawasan terbuka dimana pekerja-pekerja sedang membakar makanan laut. Ramai yang sedang membuat kerja tu ketika itu. Rasa macam nak masuk saja dapur mereka. Teruja dengan asap, kipas dan haruman ikan bakarnya.

Menu yang aku pesan semasa di sana tempoh hari ialah antaranya, jenahak 3 rasa, kerapu sweet sour, ketam rempah cili, udang ‘butter’, kepah cili, sayur campur, tomyam, dan airnya ialah jus limau kasturi bersama asam boi. Layanlah juga malam tu. Makanan sedap dan hatipun senang.

Kalau datang tanpa memesan makanan terlebih dahulu, anda tunggulah seketika. Mungkin sedikit lama sebab senarai masakan agak panjang. Tapi kalau sudah memesan makanan terlebih dahulu, hanya perlu beritahu pukul berapa nak datang dan apabila anda tiba, makanan pasti akan tersedia untuk anda kurang dari 15 minit.

Sambil makan, anda juga akan dijamu dengan desiran ombak pantai Jeram yang tak berapa tinggi ombaknya. Kalau anda datang malam, lagi ‘best’. Tak nampak apa-apa! Tetapi jika kenyang makan dan ingin jalan-jalan di tepi pantai, silakan. Bayu laut pasti menambah rasa mengantuk selepas kekenyangan. Ada kalanya, air surut hingga ke tengah laut. Jadi tak dengarlah ombak menampar pantai.

Diwaktu petangnya, anda akan dapat menikmati pemandangan matahari terbenam. Tenteram rasanya…

Kalau tanya aku apa yang paling sedap disini, aku memang tak tau nak jawab. Sebab semuanya sedap Tapi kalau nak dikira semuanya, aku akan bagi 3.75 mata daripada 5. sedang eloklah tu.

Ha? Apa? Harga? Hmm terlupa pula. Semasa ke sana, makan bersama keluarga seramai 7 orang dengan menu untuk 10 orang seperti yang aku pesan, semuanya hanya RM230. Macam tak percaya. Tak tahulah kalau disitu memang murah atau mungkin pada masa tu harga makanan laut sedang turun. Nasiblah.

Jadi, aku tak segan-silu untuk meng-‘rekomen’ anda semua untuk ke sana untuk menjamu selera dengan orang tersayang.

Alamat : Aroma Ikan Bakar, Jalan Jati off Jalan Pantai Jeram, Pantai Jeram, 45800 Jeram, Selangor

Tel : 017 – 3163117 (En. Naim) atau 019 – 2084452 (Pn. Hazura)