Diari Biru

Hari tu, aku telah diberikan senaskah diari berwarna biru. Kurniaan syarikat kepada setiap insan yang berdaftar sebagai staf di syarikat tersebut. Sepanjang 6 tahun (keluar dan masuk) di syarikat tersebut, ada dalam tiga kali aku menerima diari tahunan syarikat. Dua daripadanya dari syarikat subsidiari (berwarna coklat dan jingga) dan yang terbaru terus dari syarikat induk.

Diari biru membuatku teringat banyak perkara dan kenangan lama. Diari biru membuatku teringat kepada kebanyakan kawan-kawan seperjuangan dari syarikat ini semenjak 2004 hingga sekarang.

Mengingatkan semula kenangan bersama kawan-kawan di ‘sub-company’ pertama, aku mencungkil balik beberapa ceritera yang kadang-kadang membuatku ketawa. Tak kurang yang membuatku sedih dan kecewa. Dulu semasa mula-mula kerja di situ, ramai yang menyambut kedatangan (kumpulan – ‘batch’) kami. Maklumlah, pusat panggilan pelanggan memang tak pernah lengang dari deringan telefon dari pelanggan. Dan (sesetengah) pekerjanya pula selalu menjadikan kerjaya khidmat pelanggan ini sebagai ‘jambatan’ sebelum menyeberang ke kerjaya yang lain. Jadi, kedatangan kami telah menjadi satu rahmat kepada mereka terutamanya untuk mengurangkan jumlah panggilan harian.

Namun, ada juga sesetengah kumpulan yang tidak berapa senang dengan kehadiran kami. Adanya kami di situ dirasakan bagai satu bebanan kepada mereka. Ayat yang pasti keluar dari mulut mereka, “Ha, datang dah! Satu lagi ‘group’ budak bengap masuk ke sini. Letih la nak ajar sorang-sorang!”

Bukan menuduh atau mereka cerita. Tapi itulah yang pernah aku dengar dahulu. Dengan slanga negeri kelahirannya yang terlalu dibanggakan itu, dengan bersahaja dia membahasakan kami. Tetapi tak apalah. Mungkin dia terlalu bagus dalam kerjayanya. Dia sudah berpengalaman bertahun di situ. Mungkin pada dia, kami hanyalah sekelumit kuman atau virus yang akan membuat mereka sakit!

Apapun, pedulikan mereka. Mereka hanyalah sekumpulan kecil manusia yang melengkap rencah dunia harian kita.

Diari biru juga mengingatkan aku pada keletah dan gelagat kawan-kawan di pejabat. Ada yang terlalu ceria sehinggakan tak tahan perut menahan belahak gelaknya. Ada juga yang terlalu sombong dan angkuh dalam hidup. Kadang-kadang kami semua rasa bahawa dia mungkin rasa syarikat itu milik bapanya! Dan ada juga yang berpuak-puak. Bukan puak-puak lelaki atau perempuan, tapi puak dari segi asal keturunan. Ada yang mungkin terlalu bangga dengan susur galur keturunan dan slanga bahasa yang unik (lain dari orang lain). Mereka akan duduk dalam satu bulatan manakala mata masing-masing bagaikan sejenis alat transmisi. Bundar ke kiri dan kanan macam radar dalam kapal selam! Mana sahaja pandangan tu terlekat, pasti ada satu tajuk yang menjadi perbualan dan umpatan.

Ada lagi satu puak. Puak ni ‘stylish’ la sikit. Kalau berkumpul, ‘speaking London’ memanjang. Kalau bab pakaian, jangan disebut apa-apa. Kalahkan nak pergi ke majlis makan malam gala atau ada Annual Grammy Award di Malaysia ni. Bauan minyak wangi berjenama pula bila digaul bersama, pasti akan menambah penyakit resdung yang lain! Kerja mereka tak lain; sibuk membincangkan isu-isu hangat artis luar negara terkenal, kelab-kelab terkemuka dan terbaik pernah mereka pergi, dari mana datangnya pakaian mahal mereka, kasut berjenama mereka juga. Jangan sebut jenama murah. Takkan mereka kenal. Kalau ternampak ada yang memakai pakaian yg tak berjenama atau murah, akan mendapat satu jelingan tajam dari kumpulan ini. Pendek kata, ia untuk memberitahu sang pemakai bahawa ‘kau memang tak ada kelas’!

Yang lain, semuanya seperti biasa. Normal sahaja.

Kalau sebut pasal kawan-kawan, memang tak tercerita perihal diri masing-masing. Yang pernah aku kenali dulu, boleh kata semuanya baik-baik belaka. Yang menjadi teman setia, kekasih tapi mesra, kawan bercakaran, kawan gelak ketawa dan juga ketika menangis hiba. Sungguh lengkap pada masa itu. Hmmm kenangan tu membuatkan aku rindu pada Kak Yak di tingkat 20 masa tu… rindunya pada dia…

Diari biru juga membuatku terusik pada satu kisah lama. Kisah dimana aku ‘bergaduh’ dengan atasanku. Mungkin kerana tak sebulu, maka aku perkecil kata-katanya. Aku tak mengiakan pandangannya. Tetapi aku merasakan bahawa perlu aku lakukan sedemikian kerana dia juga tak sebulu denganku. Mungkin kerana bulu aku kerinting dan dia tidak…

Kisah tu semua mengimbau banyak perkara. Susur perjalanan hidup diselak satu persatu dengan penuh cara. Adakalanya beria-ia. Dan adakalanya terasa seperti tidak larat menampung semua. Namun ia adalah pengalaman yang sangat berharga.

Hari ini, diari biru membawa satu perjalanan baru dalam aku mengharungi kehidupan. Diam di syarikat ini sedar tak sedar sudah hampir enam tahun. Dalam syarikat kumpulan kepada syarikat induk ni, aku mendapat pengalaman baru. Didiami dengan kelompok manusia yang tak sama perangai dan perilaku, aku belajar banyak perkara. Dan perihal persahabatan adalah perkara yang paling mengejutkan.

Mengimbau kenangan semasa mula-mula masuk ke sini, memang semuanya Nampak seperti biasa. Dan terasa seperti kedatangan sangat dialu-alukan. Dulu di blog aku yang tak seberapa ni, aku pernah mengeluarkan satu tajuk berjudul – Customer Service. Dalam tajuk tu ada aku ceritakan serba sedikit tentang apa yang ada di sini. ‘Rating’ pembaca tajuk tersebut ketika itu ialah lebih kurang 160 orang. Namun apa yang mengejutkan aku, sehari selepas aku mengeluarkan tajuk tersebut, tetampal satu nota kecil di diariku yang tertulis, “kau ingat kau tu welcome sangat ke kat sini!” – hanya Husaini saja yang tahu perkara ni pada masa tersebut.

Hmmm… aku terkedu seketika. Sedikit kecewa ada, sedikit merajuk ada, sedikit marah pun ada. Nota tu masih tertampal di diari tersebut. Ada aku simpan di pejabat rumahku. Aku jadikannya sebagai satu kenangan terindah. Yang paling indah! Tulisannya kemas. Umpama tulisan seorang wanita. Dan tulisan berwarna merah. Rasa-rasanya menggunakan pen mata bola Kilometrico! Lama aku berfikir pada masa tu. Ada juga dalam benak fikiran yang aku rasa aku tak patut berada di situ. Patutnya aku faham yang orang tak suka aku disitu dan aku harus pergi. Dan ada jugak dalam benakku mengatakan yang tempat tu sama sahaja dengan sub-syarikat lama dahulu. Tak banyak bezanya.

Tapi, bila difikir-fikir semula. Satu ‘quote’ yang ada dalam fikiranku:-

“Tiada sesiapa pun dalam dunia ini dapat memuaskan hati semua orang secara total.”

Dan bertitik tolak dari ‘quote’ tersebut, aku masih disini. Masih melangkah dan menginjak di atas tanah yang sama. Masih bernafas dan menghirup udara yang sama. Dan masih bergelak ketawa dan menangis hiba dengan mereka. Mungkin termasuk juga dengan si penulis nota tersebut. Entah-entah, si penulis nota tersebut adalah salah seorang kawan baikku di sini! Kecil saja dunia ni kan?

Di tempat kerja baru ni, pengalaman memang banyak. Sedikit persamaan dengan tempat dahulu, tetapi disini aku tak jumpa puak. Atau mungkin ada tapi aku tak perasan. Tak macam dulu. Begitu jelas kelihatan. Mungkin nilai sivik mereka disini lebih baik daripada yang dahulu.

Disini (pada aku lah), semua ahli diterapkan untuk menjadi ahli keluarga. Menjadi adik beradik kepada semua orang. Kumpulan disini lebih kecil. Mungkin sebab itu ia mudah diimplimentasi. Dan dalam kesemua beradik, ada juga perangai yang berbagai.

Kalau di sini, berahsia adalah perkara yang jarang-jarang dapat dilakukan. Kerana disini, ‘dinding’ pun ada telinga dan mulut. Rahsialah sebagaimana yang anda mahu, tak sampai 24 jam, pasti semua dah tahu.

Dan di sini juga, masing-masing perlu tahan maki, tahan perli, tahan umpat dan tahan caci. Perkara tu aku rasa seperti lumrah di sini dan ia sudah menjadi semacam ‘asas’ kepada perhubungan yang berkekalan di sini. Tiada istilah merajuk, tarik muka atau terasa hati. Kalau dari kepala dah sebegitu, begitu jugalah sampai ke kaki. Semua sudah menjadi lumrah dan sebati dalam darah tubuh jabatan tempat ku bekerja sekarang. Pada mulanya aku memang merasa seperti terhumban dalam satu dunia yang semacam perit padaku. Tapi lama kelamaan aku sendiri seronok begini. Secebis sahaja hatiku berkata tidak.

Di sini juga (maaf ya), ada juga yang seronok bergurau sehingga (mungkin) membuatkan orang lain terasa hati. Tapi bila bergurau dengannya, tak boleh pula. Cepat pula melenting. Harap kalau ada yang terasa dengan pernyataan ini, janganlah marah-marah kerana ia begitu jelas kelihatan. Dinding pun dah mula dengar dan khabarkan kepada yang lain. Bahaya kalau berterusan. Kita semua kan adik beradik. Sepatutnya boleh bersama dan bergurau senda. Kalau rasa diri tu ‘perfect’ sampai tak boleh kena tegur, beritahu kami semua supaya anda boleh diasingkan (mungkin) dari kumpulan lawak dan gurau di sini. Takut nanti mungkin ada yang akan terbakar hangus… maaf yer…

Dan pada yang kaki gurau atau kaki caci maki, harap bila bercakap tu, biarlah berlapik sedikit. Orang lain ada perasaan. Orang lain pun tahu sedih, marah dan kecewa. Mereka juga manusia biasa. Bukan robot yang tak mengerti perasaan manusia. Terima kasih atas kerjasama anda.

Selain itu, kebanyakan yang ada di sini mempunyai perangai yang tersendiri. Dari yang mudah mesra kepada yang sombong. Dari yang selalu ceria kepada yang selalu bermuram durja (ehem ehem! Terbatuk pula ketika sedang menaip!), dari yang senyap kepada yang sentiasa kecoh, dari yang baik sehingga yang senakal-nakal manusia, dari yang sihat kepada yang selalu sakit (uhuk! Uhuk! Hmm kenapalah batuk lagi ni!); semuanya ada. Keadaan inilah yang membuatkan keadaan di jabatan ini tak pernah lengang dari senyuman dan hilai tawa. Dan tak pula pernah terhenti keadaannya. Sentiasa sahaja bergerak. Atau mungin bergolak! Ehehe…

Dan kalau nak diceritakan perihal semangat kekitaan, tolong menolong dan harmoni, disinilah tempatnya untuk melihat semua itu. Aku tak pasti samada tempat ini memang sebagus itu atau ahli-ahli didalamnya. Cuma yang aku pasti, kalau nak lihat semangat berpasukan, pusat panggilan khidmat pelanggan adalah jawapannya. Kalau di pusat panggilan, pekerjanya memang ramai. Disini sahaja ada mempunyai beratus-ratus orang kakitangan. Bayangkan kerjasama yang dapat dijalinkan. Cuma mungkin segelintir kecil yang kurang memberikan kerjasama. Namun apakan daya. Takkan kita nak kerah tenaga atau memaksa. Itu bukan cara yang terbaik mengukuh perhubungan.

Hmmm. Nampaknya banyak betul pengalaman, pengajaran dan kenangan yang telah aku cungkil hasil dari diari biru. Dan bagi aku, aku masih sedih sebab diari biru yang aku dapat tempoh hari telah hilang. Hari tersebut, jabatan tempat ku bekerja ada mengadakan sebuah acara tahunan. Banyak barang yang aku bawa masa tu. Dan sebelum pulang, aku letakkan semua benda setempat termasuk diari biru. Aku pula sibuk kehulu dan kehilir dan tak perasan mungkin ada yang berminat untuk mempunyai lebih dari satu diari maka diambil diari biru ku. Hmm nak buat macam mana.. dah tiada rezekiku untuk memiliki diari biru… tetapi aku hargai jasa syarikat yang sudi memberikan diari biru kepada setiap pekerjanya. Itu pun salah satu cara syarikat menghargai pekerja. Dan lebih bagus kalau aku boleh dapatkan satu lagi….

Pada kawan-kawan sepejabat, maafkan aku andai ‘entry’ ini mengguris perasaan anda atau mungkin membuatkan anda benci padaku. Aku hanya mengutarakan apa yang aku rasa perlu demi perhubungan kita semua. Harap kita semua dapat berbaik-baik semasa kita dan lebih merapatkan lagi perhubungan yang ada. Aku sayang anda semua!!