Ku Rindu Dia, Ku Damba Kasihnya…

Semalam, mak bertanya lagi. ‘Bila nak kahwin?’ aku terpaku dengan soalan tu. Aku termanggu dalam diam di hadapan pintu mengadap beranda rumah di tepi meja makan. Kalau ikutkan, aku memang dah lali dengan soalan tu. Dah tak rasa apa dah. Dah lebih ribuan kali soalan tu menerjah minda. Tapi aku tak tahu kenapa, hari itu yang membuatku tertanya semula; bila aku nak kahwin. Umur dah meningkat. ‘3 series’ kata kawan-kawan sepejabat.

Hati rindu lagi. Pada si dia gerangan sang pencinta. Pada dia yang meratu jiwa raga. Tak pernah ada galang gantinya. Tak pula aku menyalin saprah tempat semayamnya.

Aku rindu padanya. Tertitip di bibirku setiap kali teringatkan dia. Wajah hitam manis pujaanku. Tak bulat tak bujur. Bibir yang separa basah dengan senyuman menawan yang sentiasa mencairkan jiwa. Mengiurkan rasa. Mata bundar yang sering mengiringku setiap kali pulang meninggalkannya dalam kerinduan teramat.

Bertahun masa berlalu. Namun belai tangannya yang halus mulus itu masih meraba-raba lengan dan jemariku.

Ahhh!! Mengingatkan itu saja sudah cukup mencakar! Mengingatkan itu saja sudah sejenak aku berair mata. Sedetik ku teringat ketika duduk di kerusi depan beranda, aku terus menutup mata. Cuba untuk tidak mengiyakan perasaan sugulku.

Kalau sudah begitu yang aku rasa setiap detik, bagaimana mungkin ku membuka hati untuk menerima orang lain dalam hidupku. Aku sudah mengunci pintu hati. Ku rantai dan ku manggakan lagi. Namun bila mak yang sudah sebati dengan pertanyaan itu dibibirnya, bagaimana mungkin aku masih mengeraskan benak untuk tidak memikirkannya. Aku tersedar yang aku sudah merantai diriku. Aku tak pernah mengambus rasa cinta. Tapi yang aku sedar tika ini, cinta terhadapnya yang sentiasa mekar. Manakala untuk yang lain bukan setakat terkambus; malah aku pekap tanahnya. Biar ia tidak bernafas lagi.

Patutkah aku begitu? Patutkah aku melakukan itu? Separuh kata hatiku mengatakan iya. Manakala separuh lagi tak berkata apa-apa. Takut akan diapa-apakan olehku nanti. Takut aku akan menganiaya diriku sendiri.

Aku menjadi buntu. Pulang dari rumah mak, aku memandu ke rumahku. Benakku kian celaru. Dan dalam tak sedar aku sudah memandu dari rumah ibuku di Keramat dan menuju ke Klang. Sudah separuh KESAS Highway aku redah tanpa sedar. Sudah dua kali membayar tol tanpa sedar. Ketika aku tersentak dari lamunan itu, aku berada di hadapan papan tanda yang tertulis ‘Perlabuhan Barat dan perlabuhan Utara’. Tika itu aku terasa yang aku kesesatan di luar, tersesat di dalam…

Puas aku menangis di tepi jalan….

Ya Rabbu… aku tak tahu apa akan aku lakukan lagi; untuk membuka pintu hati. Mungkin hatiku sudah kematu.. mungkin sudah mati… Bantu aku Ya Tuhan.. Bantu aku Ya Tuhan….