Sentap

SENTAP

Hmmm…

Pernah dulu, aku rasa aku mengguris perasaan kawan kesayanganku.. kawan yang pernah seguru, sebilik, semotosikal, malah pernah ‘setilam dan sebantal’ ketika susah. Teruk hatinya aku guris. Malah aku rasa, aku tak mengguris hatinya. Tapi aku robek-robekkan lagi. Namun ia berlaku tanpa aku sedari.

Dan aku juga ada seorang kawan karib. Kawan yang sentiasa aku jaga hatinya. Aku tatang jasa dan budinya sepertimana ku menjaga nyawa setiap ahli keluargaku. Malah kadangkala lebih lagi. Banyak yang kami kongsi bersama. Walau berlainan jantina, kami kongsi hampir semua perkara bersama. Hilai tawa, tangis duka, malah wang RM200 yang ku pinjam masih belum terlunas! Ehehee…

Pernah dulu terjadinya satu peristiwa amat sedih hasil dari perselisihan dan salah faham antara kawan karibku dan kawan kesayanganku. Tak perlu aku ceritakan perkaranya namun ia cukup membuatku berasa amat terkilan. Kawan karibku ingin mengutarakan kata hatinya di laman web agar kawan kesayangan dan orang-orang kesayangannya juga dapat membaca dan memahami isi hatinya yang dikatakan remuk. Namun, kawan karibku berasa sedikit janggal dan teragak-agak untuk melakukannya. Maka dia meminta pandanganku.

Aku terus mengatakan bahawa aku lebih suka jika kawan karibku mengeluarkan artikelnya itu. Aku tak pula memikirkan kesan jangka panjang yang mungkin terjadi. Mungkin kesan jangka pendek pun tidak ku pedulikan! Namun, aku menyuruhnya berbuat demikian kerana, aku tidak sanggup melihat kawan karibku menangis selalu. Dalam hati ini, tak pernah terlintas untuk mengoyak perhubungan sesiapa. Lebih-lebih lagi perhubungan kawan karibku dengan kawan kesayanganku. Namun, hatiku lebih kepada belas atas kawan karibku.

Dalam masa yang sama, kawan kesayanganku juga menghampiriku dan mencurahkan segala isi hatinya yang sedemikian kalanya bagai retak menanti belah. Perihalnya dengan rumahtangganya, perihalnya dengan kewangan yang terbeban. Ditambah dengan masalah mertua dan orang sekeliling.

Aku mencerna minda di kedua belah pihak. Dengan kawan karibku aku menangis bersama, dengan kawan kesayanganku, ku ralit mendengar keluhannya. Sedikit sebanyak aku dapat memahami kedudukan kedua-dua belah pihak.

Tak perlu aku ceritakan apa sebenarnya yang dihadapi oleh mereka berdua. Cukup sekadar mengetahuinya dengan frasa – kedua-dua mereka sudah salah faham antara satu sama lain.

Yang menjadi masalahnya sekarang, artikel yang dikeluarkan oleh kawan karibku nampak sedikit ‘extrovert’. Dan ditambah pula dengan komen-komen pijar daripada kawan-kawan kedua-dua belah pihak. Namun begitu, ia dibiarkan sahaja selepas aku dan kawan karibku telah memperolehi sedikit informasi tentang perkara sebenar apa yang terjadi.

Arakian selepas beberapa detik waktu ia terdiam, salah seorang ahli keluarga kawan kesayanganku mencelah di blog berkenaan setelah terbacanya. Dia juga adalah kawan baik kepada kawab karibku.

Hehe, kecilkan dunia ni?

Dia terus menjawab segala komen-komen yang ada di blog tersebut. Termasuk juga komen aku. Dan aku rasa komennya terhadap komen aku lebih banyak berbanding komennya terhadap kawan karibku. Dan dari situ, terdapat juga komen-komen lain dari isterinya, serta kawan-kawan lain yang sentiasa mengikuti perkembangan cerita-cerita menarik tanahair! Keadaan sedikit gamat dan tidak terkawal.

Apa yang dapat aku lakukan untuk menjernihkan semula suasana? Aku telah pun menghantar emel kepadanya dan menyatakan bahawa aku dan kawan karibku telahpun mengetahui perkara sebenar namun belum menarik semula artikel tersebut (walaupun sebenarnya keadaan sudahpun terkawal ketika itu dan kawan karibku melarang untukku bersuara). Namun, cempedak telahpun masak dan akhirnya di goreng dan dimakan.

Dalam beberapa ketika, keadaan kembali jernih sejernih air di kali. Sejernih air sungai dikala pagi hari di Sungai Tua, di Ulu Yam. Sedar tak sedar, masa mengajar banyak perkara. Masa merobah segalanya.

Kedengarannya kawan kesayanganku kembali tenang dengan keluarganya. Hubungan dengan orang tersayang juga semakin bertambah akrab. Dan bertambah seorang ahli keluarga. Dan keadaan kembali kepada sediakala. Tiada lagi tsunami yang melanda Lembah Kelang. Awan bertali arus bagai tiada apa yang berlaku. Trafik pun tak pernahnya lancar dari dahulu!

Dalam benak, aku berfikir tentang keadaan ini. Aku mengaitkan keadaan tersebut dengan beberapa keadaan lepas yang pernah aku ‘cuit’. Sama sahaja keadaannya. Cuma watak dan tempat serta arusnya berbeza. Persoalan yang bermain dalam fikiran aku –

– mengapa apabila ada pebalahan besar berlaku dalam sesuatu perhubungan, barulah ada persefahaman –

Dan ironinya pada satu perkara yang sering berlaku selepas perbahalahan besar – kelahiran insan baru bergelar anak. Hmm.. mungkin ramai yang tak perasan perkara ini tapi percaya atau tidak, ia sering berlaku.

Senario 1:

Seorang rakan wanita menghubungiku dengan keadaan yang sedih. Menangis teruk dalam telefon minta diselamatkan. Setelah aku ke rumahnya, betapa terkejutnya aku dengan keadaannya yang bengkak berik. Jiran tetangga hanya mampu untuk memandang episod sedih tersebut kerana takut diapa-apakan oleh sang suami yang sudah dikenali perangainya. Aku datang dengan seorang rakan. Rakan yang tergamam dengan kejadian tersebut terus mengambil kapak (kalau tak salahlah) dalam but kereta dan memecahkan mangga pagar rumah tersebut. Dia kami bawa dia terus ke balai polis Wangsa Maju untuk membuat laporan. Setelah selesai, dia nekad untuk membuat aduan di pejabat agama. Kami terus ke situ dan satu laporan dibuat.

Selepas selesai, dia menghubungi ibubapanya dan mertuanya juga. Kisah tidak berakhir begitu sahaja. Banyak episod-episod yang perlu dilalui sehingga semuanya selesai. Dalam setahun kejadian tersebut, perhubungan kedua-dua suami isteri tersebut kembali jernih. Ditambah dengan kehadiran seorang anak lelaki yang comel yang menyerikan hidup mereka berdua. Oh ya. Untuk rekod, mereka telah berkahwin selama empat tahun tanpa anak sebelum kejadian tersebut. Tidak pasti samada mereka masih belum bersedia atau tidak ada rezeki lagi… Hmmm… Aku sangat kagum dengan jalan cerita Ilahi…

Apapun, berbalik kepada ceritera kawan karib dan kawan kesayanganku tadi, aku amat menyayangi mereka berdua. Tidak pernah terlintas walau sekelumit untuk meruntuhkan rumahtangga sesiapa dan tidak pernah terlintas untuk melaga-lagakan sesiapa juga.

Pada kawan kesayanganku, aku amat berharap agar kau berbahagia dengan pasanganmu dan pertahankanlah institusimu itu seutuh mungkin sehingga ke liang lahad. Harap kau dapat memaafkan aku sekiranya kau rasa aku bersalah. Aku sekali-kali tidak rasa bersalah . Kerana aku masih rasa perbuatanku adalah yang betul. Jika tidak kawan karibku meluahkan isi hatinya kelmarin itu, aku rasa masalah takkan selesai. Jika tidak diutarakan perkara tersebut, aku rasa masing-masing masih lagi akan menyimpan perasaan masing-masing tanpa ada persefahaman lagi. Dan jika tidak kita semua berbalah, tiada sesiapa yang akan memahami keadaan sebenar dan pasti keadaan akan semakin runcing. Dan jika tiada perbahalahan tersebut, perbincangan secara demokrasi dan diplomasi juga pasti takkan berlaku. Wallahualam.

Dan untuk kawan karibku, aku juga mendoakan kesejahteraan kau serta mendoakan juga agar cepat jodohmu bertandang dan kekal abadi. Aku sangat berharap agar kau keringkan airmata yang sering menitis di pipi. Jangan difikirkan lagi kelam lalu, hatta ada pelita yang sedang menerangi hidupmu. Dan seperkara lagi, hutangku padamu akan kulangsaikan nanti. Hehe!

Barakallah…