Terkesima – 2004

Mengapa aku resah

Sewaktu kau menyapaku

Aku resah

Dan sampai hari ini

Aku masih resah…

Wajahmu tak berubah

Suaramu semerdu dahulu

Manjamu menggamit kenangan lalu

Mengapa kau dakap lengaku?

Sewaktu ku lewati jasadmu

Walau telah lama berpisah

Dan kau jua yang memintanya

Dan kini

Kau jua yang mengingkarinya

Aku masih berperasaan

Walau lama kau menghindariku

Namun melihat wajahmu malam itu

Ternyata aku masih rindu

Makin pekat malam

Semakin kenangan terimbau

Kau yang memulakan

Kini kau yang tak keruan

Kenapa semua ini bertandang

Kenapa semua ini datang

Kenapa semua ini bagaikan mencengkam

Kau nyatakan kerinduan

Kau suarakan keresahan

Kau laungkan perasaanmu

Semua itu bukan mudah kulupakan

Kau yang memainkan perasaan

Kini kau yang keresahan

Dan membuatku tak keruan…

Haruskah aku melayangkan semula

Bunga kasih yang telah lama kelayuan

Haruskah aku menerima semula

Sisa cintamu yang pernah kau campakkan

Haruskah aku menampal semula

Cebisan hatiku yang pernah kau robekkan…

Aku keresahan… aku terkesima keresahan….